Hari ni hari ke 30 PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Hari ni jugak genap 2 minggu nenek saya meninggal dunia. Dan disebabkan PKP ni lah, saya tak dapat ziarah nenek saya di hari terakhirnya di dunia ni.

Nenek saya, yang saya panggil embah perempuan, kembali ke Rahmatullah pada hari Khamis, 2 April 2020. Ketika usianya 96 tahun. Lagi 4 tahun genap usia embah 100 tahun.. tapi Allah lebih sayangkan embah.. dan kami semua redha atas pemergian embah.

Dah lama embah perempuan sakit dan terlantar atas katil. Sejak embah jatuh depan bilik air 7 tahun lepas, dan patah tulang pinggul, pergerakan embah sangat terbatas. Embah perlukan tongkat beroda 4 untuk berjalan. Dan Embah tak boleh berdiri lama-lama. Biasanya embah perempuan hanya duduk atau baring sahaja di atas katil. Embah laki yang banyak buat kerja-kerja rumah sebelum embah lelaki meninggal pada tahun 2015.

Sejak tu embah perempuan tinggal di rumah anak-anak secara bergilir-gilir di Johor Bharu, Chaah, Klang dan Serdang (rumah mak saya).

Masa kecil dulu, saya dan kakak saya duduk di kampung, dan dibesarkan oleh embah laki dan embah perempuan. Jadi kami memang rapat sangat dan manja dengan embah.

Kali terakhir saya jumpa embah, awal bulan Mac. Masa tu Embah di Klang, di rumah pakcik saya. Keadaan embah masa tu, hanya mampu terbaring terlantar atas katil. Mak kata embah dah start lupa, kadang-kadang embah lupa mak saya tu siapa. Tapi masa saya jumpa embah kat Klang, embah masih cam saya. Masih boleh bersembang. Cuma dia sedih dan asyik menangis kerana dia dah tak boleh buat apa-apa. Nak duduk pun dah tak boleh. Cuma mampu terbaring terlantar atas katil. Dia cuma sebut nak mati jer.. sebab dah tak sanggup hidup macam tu. Sedih sangat saya dengar embah cakap macam tu.

Pertengahan bulan Mac, sebelum PKP dilaksanakan, kakak saya sempat jumpa Embah di Klang. Kakak saya kata, embah asyik tidur jer. Tengah bersembang dengan kakak saya pun, embah tertidur. Makcik saya kata, embah dah macam baby dah sekarang. Tidur jer. Makan minum pun kena guna syringe sebab embah dah tak boleh menelan.

Kami sekeluarga dah jangka, embah akan pergi bila-bila masa, sebab keadaan embah memang dah uzur sangat. Dan pada pagi 2 April, mak saya bagitahu saya, embah dah tak ada. Walaupun saya dah jangka, tapi bila dapat berita tu, saya rasa blur dan tak boleh berfikir. Dengan keadaan tak boleh keluar rumah sebab PKP ni, saya rasa useless sangat.

Rasa terkilan sangat tak dapat pergi ziarah embah buat kali terakhir. Rasa macam saya ni cucu yang tak berguna sangat. Saya hanya mampu menangis sepanjang hari, mengenangkan embah dah tak ada. Tapi hati ni rasa terubat sikit bila mengenangkan embah dah tak sedih lagi, dan tak rasa sakit lagi. Saya doakan embah tenang dan bahagia di sisi Allah SWT.

Untuk yang tertanya-tanya, takkan nenek meninggal tak boleh ziarah masa PKP? Jawapannya, boleh. Tapi polis cuma benarkan seorang jer yang balik ziarah. Walaupun dapat surat pelepasan dari Balai Polis, saya yang dari Kedah ni,, belum tentu lepas nak masuk Penang, Perak dan akhirnya Selangor. Lagipun saya tak berani nak drive sorang-sorang sejauh tu. Saudara mara yang duduk selangor pun ada yang tak lepas nak ke Sabak Bernam, tempat nenek saya dikebumikan.

Kakak saya yang duduk Perak tu pun tak dapat pergi ziarah. Cuma suami kakak saya jer yang pergi seorang. Mak saya kata, walaupun tak ramai yang ziarah embah sebab PKP ni, tapi urusan pengembumian embah mudah sangat. Embah meninggal di rumah pakcik saya di Klang..tapi kami dapat kebumikan embah di kampung halaman embah di Tebuk Pulai, Sabak Bernam. Embah pernah berpesan dulu, jika dia meninggal, dia nak dikebumikan sebelah kubur embah lelaki. Alhamdulilah, kami dapat tunaikan permintaan terakhir embah.

Raya tahun ni pastinya tak sama seperti tahun tahun lepas. Kehilangan pakcik saya tahun lepas akibat sakit jantung, dan embah pula tahun ni.. pasti akan terasa kekosongan di pagi raya. Dan..dengan keadaan COVID 19 sekarang, rasanya bulan syawal nanti, PKP masih lagi berlanjutan. Dan kita terpaksa sambut raya di rumah masing-masing tanpa berjumpa sanak saudara.

Walaupun saya redha dengan pemergian embah, tapi bila teringat, dada jadi berat, dan air mata mengalir tanpa sedar.

Alfatihah untuk arwah embah saya,

Hajjah Maimunah binti Hj. Nahrawi

24/6/1924 – 2/4/2020